Tuesday, July 19, 2011 | By: ainjannah

PENENANG JIWA (BAB 3)-SABAR DAN SAKIT



Barangsiapa ingin selamat daripada azab Allah, mendapatkan pahala dan rahmat-Nya dan masuk Syurga-Nya, hendaklah dia menahan nafsu daripada segala keinginan dunia, di samping sabar atas segala kesulitan dan musibahnya. Allah menyukai orang-orang yang sabar. Sabar mempunyai banyak macam. Sabar melaksanakan perintah (taat). Sabar meninggalkan larangan-larangan-Nya. Dan sabar ketika mendapat bencana. Barangsiapa bersabar kerana taat, maka pada hari Kiamat Allah akan memberikannya tiga ratus darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi. Dan barangsiapa sabar meninggalkan larangan Allah, maka pada hari Akhirat Allah akan memberinya enam ratus darjat. Tiap darjat antara langit dan bumi ke tujuh. Adapun orang orang yang sabar atas bencana dan musibah, maka pada hari Akhirat Allah akan memberinya tujuh ratus darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat di antara Arasy dan Tsura.
        Dirawikan daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda bersabda, "Allah telah berkata:
              "Barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia mohon perlindungan
               daripada-Ku, pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. 
               Dan barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan
               kepada makhluk, pasti-Ku tutup semua pintu langit baginya."

     Maka bagi orang yang berakal wajiblah dia bersabar atas bencana yang menimpa. Tidak ragu atau mengadu (kepada makhluk). Maka dia akan selamat daripada seksa dunia dan akhirat. Sesungguhnya bencana yang paling pedih hanya menimpa para nabi dan para wali.
    Junaid al-Baghdadi ra telah berkata," Bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lengah  (lupa ).Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan sabar."
   Rasulullah SAW juga bersabda,
   " Barangsiapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, makan
     bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. 
     Jika engkau sakit, janganlah segera meminta sembuh."


   Telah berkata Adl Dlahaj ra, "Barangsiapa tidak diuji antara tiap-tiap empat puluh hari dengan suatu bala, kedukaan atau musibah, maka tidak ada kebaikan baginya disisi Allah."
   Daripada Muaz bin Jabal ra, beliau berkata,"Ketika Allah menguji hamba yang mukmin dengan suatu bencana, Dia berkata kepada ( Malaikat ) pencatat amal buruk, "Hapuskan catatan daripadanya." Dan berkata kepada pencatat amal baik, "Tuliskan untuk hamba-Ku yang lebih baik daripada apa yang dia perbuat."
      "Ketika seorang hamba sakit, Allah mengutus dua Malaikat kepadanya,
        seraya berkata,"Lihatlah kalian apa kata hamba-Ku." Jika dia berkata
       'Alhamdulillah', maka diberitahukan kepada Allah, Dia lebih tahu, lalu
        berkata, "Aku berjanji untukhamba-Ku. Jika aku mematikannya,
        kemasukkan dia ke Syurga. Dan jika Aku menyembuhnya, Ku ganti
        daging yang lebih baik daripada dagingnya serta darah yang lebih
        baik daripada darahnya. Dan Aku hapuskan pula keburukannya."


    Tersebut dalam kisah. Ada salah seorang lelaki fasik daripada Bani Israel. Orang sekampung tidak dapat lagi membendung kefasikannya.Mereka Mengadu kepada Allah. Lalu Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa as bahawa di antara Bani Israel itu ada seorang pemuda fasik. Kemudian Musa mengusir pemuda itu dari kampung mereka. Sehingga mereka tidak terjilat api ( Neraka ) oleh kefasikannya. 
     Maka pergilah pemuda itu ke suatu kampung. Kemudia Allah SWT memerintahkan lagi agar Nabi Musa as mengusirnya. Maka dia mengusir pemuda itu. Sehingga pemuda itu pergi ke suatu tempat yang tidak terdapat manusia, tanaman, binatang liar atau burung. Di situlah dia sakit dan tidak ada pula yang menolong. Dia jatuh ke tanah. Dia meletakkan kepalanya sambil berkata, "Kalaulah kepalaku ini dibangku oleh ibuku, tentulah dia mengasihiku. Tentulah dia menangis meratapiku. Kalaulah ayahku ada di sini, pastilah dia akan menolong dan merawatku. Kalaulah isteriku ada di sini, tentu akan menangisi kematianku. Jika anak-anakku ada, tentulah mereka akan tersedu-sedu mengiringi jenazahku, lalu mereka akan berdoa, " Ya tuhan, ampunilah ayahku ini. Yang lemah, fasik, derhaka, yang terusir dari kota kampung dan dari kampung ke padang yang gersang. Yang keluar dari dunia dan ke Akhirat tanpa harapan suatu apa pun. Ya Allah Engkau telah memisahkan aku dari orang tuaku, anak-anakku dan isteriku. Namun janganlah Engkau pisahkan aku daripada rahmat-Mu.
   Sesungguhnya Engkau telah membakar hatiku sebab berpisah dengan mereka. Namun janganlah engkau bakar hati ini dengan Neraka-Mu kerana kemaksiatanku." Kemudia Allah megutuskan bidadari menjelma menyerupai ibunya. Dan bidadari lain menjelma menjadi isterinya. Begitu ghilman ( anak-anak Syurga ) menjelma sebagai anak-anaknya. Serta mengutus Malaikat seolah-olah bapanya. Mereka duduk disisinya dan meratapinya. 
     Lalu lelaki itu berkata,"Sesungguhnya ini ibu bapaku, isteriku, anak-anakku telah hadir di sisimu." Maka legalah hatinya sehingga pulang ke rahmatullah dengan suci terampun dosanya. Kemudia Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa, "Pergilah ke suatu padang di sebuah tempat di sana. Di situ telah mati seorang wali. Maka hadir dan uruslah dia!" Ketika Musa as datang di tempat itu, beliau melihat pemuda yang diusirnya dari kota dan dari kampung dengan perintah Allah. Juga baginda lihat para bidadari mengerumuninya. Lalu baginda berkata, "Ya Tuhanku, bukankah ini pemuda yang aku usir dari kota dari kampung atas perintah-Mu?" Allah berkata, " Wahai Musa, sesungguhnya Aku telah merahmati dan mengampuninya. Sebab dia meratap ditempatnya. Dia tinggalkan kampung halamannya, kedua orang tuanya, bahkan anak-anak dan isterinya. Maka Aku utus para bidadari menjelma sebagai ibu dan isterinya, Malaikat sebagai bapanya. Mereka mengasihi kepedihan dan pengasingannya. Sesungguhnya jika orang meninggal di tempat jauh, maka ahli bumi dan ahli langit akan menangis mengasihinya. Lalu bagaimana Aku tidak mengasihinya sedangkan Aku Maha Pengasih?"
    Jika seseorang menghadapi sakaratul maut di pemusafiran, Allah akan berkata, " Wahai Malaikat-Ku, ini adalah orang asing sedang bermusafir. Dia meniggalkan anak dan isterinya dan orang tuanya. Jika dia mati tiadalah yang menangis dan meratapinya." Kemudian Allah menjadikan Malaikat menyerupai bapanya, seorang lagi menyerupai ibunya, seorang lagi menyerupai anaknya dan seorang lagi menyerupai keluarganya. Mereka masuk dan membukakan matanya. Sehingga dia melihat orang tua dan keluarganya. Senanglah hatinya. Sehingga dia menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dan bahagia. Kemudian ketika jenazahnya diusung, mereka menghantarkan ke kubur dan mereka mendoakan sampai hari Akhirat. 


     "Allah Maha Halus (penyantun) kepada hamba-hamba-Nya..."   
      (Q.S. Asy Syura:19 )

   Ibnu Athok berkata, "Akan terbukti keteguhan dan kebohongan seorang hamba sewaktu berlakunya bencana mahupun kemakmuran. Barangsiapa bersyukur di saat makmur, tetapi mengeluh bila di timpa bencana, jelas dia orang yang dusta. Meskipun orang yang mempunyai segudang ilmu, etapi mengeluh jika terkena angin bencana, sungguh tidak berguna ilmu dan amalannya. Allah telah berfirman dalam Hadis qudsi:
      "Barangsiapa tidak rela dengan keputusan-Ku dan tidak syukur pula
       dengan pemberian-Ku, hendaklah dia mencari Tuahn selain Aku!" 

   Wahab bin Munabbah bercerita: Ada seorang nabi telah menyembah kepada Allah selama lima puluh tahun. Kemudian dia mendapat wahyu dari Allah mengatakan, "Aku telah mengampunimu." Dia bertanya, "Mengapa Engkau mengampuniku sedangkan aku tidak pernah berdosa?" Kemudian Allah memerintahkan agar sebatang pohon menimpanya sehingga dia kesakitan dan tidak tidur semalam suntuk. Kemudian dia mengadukan perihalnya tiu kepada Allah. Maka pohon itu berkata, "Sesungguhnya Allah berkata kepadamu bahawa ibadah lima puluh tahun itu belum cukup untuk menebus keluhan itu." 
  (petikan dari buku PENENANG JIWA- pengubatan & rawatan)
   IMAM AL GHAZALI- terjemahan kitab MUKASHAFAH AL QULUB

SETIAP YANG HIDUP ITU PASTI MERASAI MATI. INGATLAH 5 PERKARA SEBELUM DATANGNYA 5 PERKARA.
1. SIHAT SEBELUM SAKIT.
2. MUDA SEBELUM TUA.
3. LAPANG SEBELUM SEMPIT.
4. KAYA SEBELUM MISKIN.
5. HIDUP SEBELUM MATI.


Sama-samalah kita mengambil iktibar. Yang jelas dan sempurna itu datangnya dari Allah SWT. dan yang kurang dari kelemahan diri ini. Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment