Sunday, July 17, 2011 | By: ainjannah

PENENANG JIWA (BAB 2) -MENANGIS KERANA TAKUT KEPADA ALLAH SWT


Telah berkata Abul-Laits r.a:
       " Sesungguhnya Allah mempunyai para Malaikat di langit tujuh bersujud sejak Allah menciptakan
         mereka sampai hari Kiamat. Mereka takut menderhakai Allah. Ketika hari Kiamat mereka mengangkat
         kepala, seraya berkata: " Maha Suci Engkau. Kami telah menyembah Engkau dengan sesungguhnya."
         Demikian inilah yang tersebut dalam firman Allah:



              " Mereka itu (Malaikat) takut kepada Tuhan di atas mereka dan mereka memperbuat
                apa-apa yang disuruh." (Q.S. An Nahl: 50 )


Rasulullah SAW bersabda:

            " Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, bergugurlah dosanya
               bagaikan dedaun jatuh dari pohonnya."


    Diceritakan : Ada lelaki jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk suatu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sesampai di kampung yang sunyi ketika orang-orang sudah tidur. Lelaki itu meyampaikan maksud hatinya. Si wanita itu pun menyahut, " Lihatlah apakah orang-orang sudah tidur semuanya?" Dengan demikian lelaki itu mengira bahawa maksud hatinya hendak dikabulkan. Dia mengelilingi kawasan itu dan melihat-lihat sejenak. Setelah jelas orang-orang telah tidur, segera dia menghampiri wanita seraya berkata, " Benar semua orang telah tidur." Lalu wanita itu bertanya " Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apkah saat ini Dia juga tidur?" Lelaki tersebut menjawab, "Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur." Wanita itu lalu bertanya lagi, Sesungguhnya Zat yang  akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak kita takuti." Dengan segera lelaki itu meninggalkan perempuan itu kerana dia takut kepada Allah. Dia pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada seorang bermimpi bertemu dengannya. Lalu ditanya, " Apakah yang dilakukan oleh Allah kepadamu?" Lelaki itu menjawab: " Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan meninggalkan dosa itu."
      Hikayat:  Di dalam golongan Bani Israel ada seorang abid yang menanggung keluarga yang ramai. Dia ditimpa kecelakaan yang menyulitkan dia mencari pendapatannya sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia memerintahkan isterinya agar mencari sesuatu untuk menanggung keluarganya. Kemudian perempuan tiu datang ke rumah orang kaya dan meminta sedikit makanan untuk keluarganya. Orang kaya itu berkata, "Baiklah. Tapi serahkan dirimu untukku barang sebentar." Perempuan itu terdiam dan segera pulang ke rumahnya. Apabila pulang melihat anak-anaknya merengek-rengek, "Ibu, kami akan mati kelaparan. Berilah kami makanan." Hatinya tidak tertahan. Dia kembali ke rumah orang kaya tadi dan ceritakan perihal keluarganya. Lalu orang kaya itu bertanya, "Apakah engkau bersetuju dengan permintaanku?" Perempuan itu mengangguk.
      Namun ketika berada dalam bilik yang sunyi itu, tubuh perempuan itu menggeletar seolah-olah seluruh anggota badannya hendak terlepas. Maka orang kaya itu bertanya, "Mengapakah engkau melakukan demikian?" Perempuan itu menjawab, "Sebenarnya aku takut kepada Allah." Kemudian orang kaya itu berkata, "Engkau telah takut kepada Allah bersama dengan kefakiranmu. Maka semestinya aku lebih takut daripada engkau." Segera dia menghentikan keinginannya terhadap perempuan itu. Diberikannya apa yang diminta oleh perempuan itu. Dan perempuan itu pulang membawa nikmat yang melimpah, sehingga keluarganya menjadi senang. Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa as: "Katakanlah kepada fulan bin fulan. Aku telah mengampuni dosanya." Lalu Nabi Musa as datang kepada orang kaya itu seraya berkata, " Barangkali engkau telah berbuat kebaikan antara engkau dan Allah." Lalu orang kaya itu menceritakan apa yang telah berlaku dan Nabi Musa as berkata, "Sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa-dosamu..." Demikianlah tersebut dalam kitab 'Majma'ul Lathaif '.

        Dirawikan daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: 
        "Sesungguhnya Allah telah berkata, "Aku tidak mengumpulkan pada hamba-Ku dua 
          ketakutan dan dua keamanan. Barangsiapa takut kepada-Ku di dunia, Aku amankan
         di Akhirat. Dan barangsiapa (merasa) aman dari-Ku di dunia, Aku takutkan dia di Akhirat."

Allah SWT berfirman: 

       "Maka janganlah engkau takut kepada manusia dan takutlah kepada-Ku." 
          (Q.S. Al Maidah:44)

Dalam ayat lain Allah SWT berfirman: 

       " Janganlah engkau takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku."  (Q.S. Al Imran:175 )

        Pernah pada suatu ketika Umar bin Khatab jatuh pengsan, manakala mendengar ayat Al-Qur'an dibaca. Kemudian pada suatu ketika dia mengambil sepotong kayu sambil berkata, "Sekiranya aku menjadi kayu, tidaklah aku menjadi seperti ini. Dan jika sekiranya ibuku tidak melahirkanku." Beliau menangis teresak-esak. Air matanya mengalir membasahi pipinya. Sehingga pada mukanya ada dua garis hitam bekas air mata. Sehingga Rasulullah SAW pernah mengatakan,
         " Api (Neraka) tidak akan menjilat orang yang menangis kerana takut kepada Allah SWT. 
           Sehingga air susu kembali ke buah dada."

         Tersebut di dalam kitab ' Raqaiqil Akhbar '. 
       Pada hari Kiamat seorang hamba akan dipanggil. Oleh kerana amalan buruknya lebih banyak, maka diperintahkan dia masuk Neraka. Kemudian sehelai rambut dipipinya berkata: Ya Tuhanku, utusan-Mu Muhammad pernah bersabda, "Barangsiapa yang takut kepada Allah, maka Allah mengharmkan mata itu dalam Neraka. Dan sesungguhnya aku telah menangis kerana takut kepada Engkau." Lalu Allah mengampuninya dan menyelamatkannya daripada api Neraka berkat sehelai rambut. Kemudian Jibril as mengumumkan "Fulan bin Fulan telah selamat, berkat sehelai rambut!"

        Tersebut pula dalam kitab ' Bidayatul Hidayah':
     " Manakala hari Kiamat, didatangkan api yang bergemuruh. Hingga menggetarkan hati setiap umat. Ketika mereka mendekatinya, gemuruh semakin keras. Hingga terdengar dari jarak perjalanan lima ratus tahun. Setiap orang sehingga para nabi berkata,"Nafsi-nafsi" (sendiri-sendir). Kecuali Nabi Muhammad SAW. Baginda berkata. "Umatku-umatku." Kemudian keluarlah api bagaikan gunung. Umat Muhammad berusaha menolaknya sambil berkata, "Demi orang-orang yang bersolat. Demi orang-orang shiddiq. Demi orang -orang yang khusyuk. Dan demi orang-orang yang berpuasa. Kembalilah engkau wahai api!" Tetapi api itu tidak juga kembali. Jibril as berkata, " Sesungguhnya api hendak membakar umat Muhammad." Lalu ia datang kepada Nabi Muhammad SAW dengan membawa segelas air sambil berkata, "Ambillah air ini. Percikkan ia ke api itu!" Kemudia Nabi SAW memercikkan ke api itu. Dan seketika itu api menjadi padam. Lalu Nabi bertanya, "Air apakah ini?" Jibril as berkata, "Itulah air mata umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah dan sekarang aku diperintahkan untuk memberikan air itu kepadamu supaya engkau memercikkan ke api sehingga padam dengan izin Allah."
           Rasulullah SAW seringkali berdoa:
           " Ya Allah, berikanlah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada 
             Engkau sebelum air mata ini habis."

        Diceritakan daripada Muhammad bin Munzir ra. Manakala menangis, beliau mengusapkan air mata ke muka dan janggutnya sambil berkata, " Telah aku dengar bahawa api neraka tidak akan jilat muka yang basah oleh air mata. Maka sayugianya orang mukmin takut akan seksaan Allah serta menahan dirinya daripada nafsu dan syahwat. Allah telah berfirman: 

     " Maka barangsiapa yang derhaka. Dan mengutamakan hidup di dunia. Maka 
     sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran
     Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya. Maka sesungguhnya
      Syurgalah tempat diamnya.  ( Q.S. An Nazi'at:37-41 )


       Barangsiapa ingin selamat daripada azab Allah serta mendapatkan pahala dan rahmat-Nya, hendaklah dia sabar atas kesulitan dunia, taat kepada Allah serta jauhi maksiat.
        Dalam kitab Zahrir Riyadh, dirawikan dari Nabi SAW, sesungguhnya baginda bersabda:
        "Ketika telah masuk ahli Syurga, mereka disambut oleh para Malaikat dengan segala kebaikan dan kenikmatan. Dipersilakan untuk mereka singgah-sana berpermaidani indah. Disajikan untuk mereka segala rupa makanan dan minuman yang lazat. Oleh itu mereka menjadi kehairanan. Kemudian Allah berfirman, " Wahai hamba-hamba-Ku mengapakah engkau hairan? Ini bukan tempat untuk merasa hairan." Mereka menjawab, "Janji untuk kami telah tiba waktunya." Kemudian Allah berfirman kepada Malaikat, "Bukalah tabir daripada muka mereka." Malaikat menjawab, " Wahai Tuhanku, bagaimana dapat melihat Engkau? Sedangkan mereka itu penderhaka." Allah berfirman lagi," Bukakan tabir! Sesungguhnya mereka telah berzikir, bersujud dan menangis di dunia kerana ingin berjumpa dengan-Ku." Lalu Malaikat membukakan tabir. Sehingga mereka dapat melihat. Maka dengan segera mereka bersujud kepada Allah. Tetapi Allah telah berfirman, "Angkatlah kepalamu. Ini bukan tempat beramal. Melainkan tempat keramat (kemulian)." Kemudian mereka nampak Allah dnegan tanpa kaifiyah. Dia berkata kepada mereka, " Salam sejahtera bagi engkau wahai hamba-hamba-Ku. Aku redha kepadamu. Apakah engkau telah redha kepada-Ku?" Mereka menjawab, " Bagaimana kami tidak rela wahai Tuhan kami. Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga bahkan belum terlintas dalam hati manusia." Inilah yang dimaksudkan firman Allah:
       
           " Allah rela kepada mereka dan mereka pun rela kepada-Nya." (Q.S. AL Baiyinah:8 )

      Dan firman Allah berbunyi: 

           " (Dan ucapan) selamat perkataan daripada Tuhan yang Pengasih." (Q.S. Yasin :58 )

(Petikan dari buku PENENANG JIWA-pengubatan & rawatan)
IMAM AL GHAZALI-terjemahan kitab MUKASHAFAH AL QULUB

kata-kata:
telah terbukti dalam kitab di atas bahawa sesungguhnya...setiap umat Islam yang takut kepada Allah senantiasa mendapat redha dari-Nya..Marilah kita beramal dan membuat kebaikan di dunia ini, sebelum kita di panggil untuk menghadap Allah SWT suatu hari kelak. terima kasih kerana sudi membacanya.....

0 comments:

Post a Comment